30.6.10

Pernikahan Muallaf : Kesannya Terhadap Hukum Dan Undang-undang

Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid
Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor.


Pendahuluan.

Mendirikan rumahtangga dalam Islam bukan urusan individu seperti yang difahami dalam kehidupan bangsa lain terutamanya masyarakat di Barat. Rumahtangga dalam Islam merupakan antara bahagian terpenting untuk membina sesebuah masyarakat dan masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam pembentukannya.
Sebagai nizamul hayah (peraturan hidup) yang lengkap dan sempurna, merangkumi pembentukan masyarakat yang sejahtera, Islam telah menetapkan peraturan-peraturan perkahwinan dan kekeluargaan dengan sempurna. Peraturan ini tidak hanya berbentuk undang-undang tetapi juga menerusi pembentukan rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak yang dibina menerusi kesedaran beragama yang dipupuk menerusi pendidikan. Kesempurnaan undang-undang yang mengawal perjalanan keluarga tidak mencukupi bagi menjamin ketenteraman sesebuah keluarga itu.
Bagaimana seseorang itu boleh berperanan dalam hidup berkeluarga. Islam telah mengaturnya dengan lengkap dan terperinci. Seseorang itu perlu memahami dan melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab. Suami, isteri, ibu dan ayah, masing-masing mempunyai tanggungjawab yang berbeza. Pembahagian tanggungjawab ini diatur sedemikian rupa supaya wujud suatu disiplin hidup dalam sesebuah keluarga. Dengan itu tidak ada perebutan tugas atau tolak menolak dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Falsafah Perkahwinan Dalam Islam.

Institusi keluarga mesti disusun dan dikawal oleh rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak Islamiyyah. Rasa tanggungjawab dan menghormati nilai-nilai akhlak itu hanya akan berkembang subur dalam kalangan orang-orang yang mempunyai kesedaran keagamaan. Kesedaran keagamaan yang terpenting ialah apabila seseorang itu sentiasa mengingati Allah s.wt. dan takut kepada-Nya. Kesedaran ini merupakan kawalan berkesan untuk seseorang mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Tanpa kesedaran ini peraturan yang sempurna tidak memberi banyak kesan, kerana orang yang tidak dapat mengawal dirinya dengan kesedarannya terhadap wujudnya Allah s.w.t. dan takut kepada-Nya, akan dengan mudah melanggar undang-undang dan peraturan itu. Apabila undang-undang tidak dihormati, ia tidak bermakna lagi walau bagaimana sempurna pun undang-undang itu.

Dalam menyusun keluarga yang tenteram dan sejahtera, Islam berpandu kepada dua prinsip:
1. Didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama - Islam sebagai ad-din (di dalamnya disuburkan perasaan taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, belas kasihan, bertimbang rasa dan lain-lain).
2. Undang-undang dan peraturan yang menentukan kewajipan, hubungan antara suami isteri, kewajiban terhadap anak-anak, nafkah, peraturan jika berlaku perselisihan dan penceraian dan sebagainya.

Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya belum sepenuhnya memenuhi kehendak-kehendak Islam. Selain daripada kurangnya asas-asas keagamaan, pasangan suami isteri pula jahil tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan hubungan antara mereka dan tanggungjawab keduanya terhadap anak-anak.

Definisi Muallaf.

Muallaf atau saudara baru ialah orang yang dijinakkan hatinya. Termasuk juga dalam kategori muallaf ini ialah orang yang masih lemah niatnya di dalam Islam. Selain itu, muallaf ialah golongan yang diharapkan terhapus niat jahat mereka terhadap orang-orang Islam atau mengharapkan kebaikan daripada mereka dalam menolong dan mempertahankan orang-orang Islam.

Ringkasnya, muallaf boleh dimaksudkan sebagai mereka yang memeluk agama Islam dan imannya dhaif. Di samping itu, diharapkan kecenderungan hatinya atau keyakinannya terhadap Islam semakin bertambah. Ataupun, mereka yang memeluk agama Islam, imannya kuat dan dipandang tinggi oleh kaumnya, diharapkan agar ia boleh menarik minat orang lain untuk memeluk agama Islam atau dapat mempertahankan kejahatan serta muslihat orang-orang kafir di sekelilingnya.

Had panggilan seseorang muallaf maksimanya adalah untuk tempoh 5 tahun dan ia hendaklah berdasarkan kepada ‘uruf dengan syarat mengikuti kelas-kelas agama sama ada yang diiktiraf atau dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). MAIS juga bertanggungjawab membiayai segala kos pembelajaran bagi para muallaf di Negeri Selangor.3 Ia juga bergantung kepada penilaian terhadap individu muallaf itu sendiri dalam usaha untuk dirinya mempelajari dan melaksanakan syariat Islam.

Walaubagaimanapun, tempoh 5 tahun ini adalah memadai bagi seseorang itu untuk mengenali seterusnya mengamalkan ajaran Islam itu dengan baik dan sempurna sekiranya individu itu sendiri benar-benar komited dan bersungguh-sungguh untuk mendalami Islam.

Pernikahan Muallaf.

Keindahan dan ketinggian syariat Islam dalam mengatur proses atau perjalanan kehidupan umat manusia dalam semua aspek telah berupaya untuk menarik minat mereka yang bukan Islam untuk mengenali serta mendalami Islam. Islam mempunyai peraturan dan garis panduan yang jelas dan ianya membabitkan 3 aspek utama iaitu aqidah, syariah dan akhlak.

Aturan hidup dalam Islam sebenarnya mempunyai misi yang jelas apabila ianya dikaitkan dengan hakikat kejadian manusia itu sendiri iaitu dari mana kita datang? Untuk tujuan apa kita dihidupkan? dan ke mana sebenarnya akhir perjalanan hidup dan apa matlamat kita?

Sebagai umat Islam, kita berpegang kepada prinsip hablum minallah wa hablum minannas. Kita tidak boleh mengenepikan semua hal dunia untuk menumpukan kepada akhirat semata-mata. Sebaliknya kita juga harus sedar bahawa mengejar kehidupan dunia semata-mata bukanlah matlamat kita dihidupkan Allah di dunia ini.

Ketiga-tiga aspek itulah yang membuatkan mereka yang bukan Islam tertarik dengan Islam iaitu kepercayaan wujudnya Pencipta, sistem kehidupan yang diatur dengan bijaksana serta keluhuran dalam membentuk insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi yang dapat dijelmakan melalui contoh tauladan yang baik dalam penerapan nilai-nilai murni dan penghayatan Islam, di samping keharmonian hidup masyarakat yang bersifat toleransi, kasih sayang dan lain-lain.

Hakikat inilah yang mendorong mereka untuk memeluk agama Islam, selain faktor yang paling utama iaitu hidayah dari Allah s.w.t. Perlu difahami bahawa Allah s.w.t. itu memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa sahaja yang Ia kehendaki dan hidayah itu juga datang melalui pelbagai cara, salah satu daripadanya adalah melalui perkahwinan. Pemelukan agama Islam oleh seseorang muallaf atas dasar untuk bernikah dengan orang Islam hanyalah sebagai suatu penyebab mengapa ia memeluk Islam.

Masyarakat kita seringkali menyelar tindakan ini dengan melabelkan seseorang itu memeluk Islam kerana hendak berkahwin. Tetapi perlu diingat dan apa yang lebih utama adalah perkara ini berlaku kerana ia telah mendapat hidayah dari Allah s.w.t. Ada juga pernikahan wanita Islam dengan lelaki bukan Islam tetapi pernikahan itu tidak berlandaskan syariat Islam, malahan wanita Islam itu pula yang menukar agamanya mengikut agama lelaki tersebut. Mengapa masyarakat tidak ambil peduli dengan perkara seperti ini?

Sebagai seorang yang bergelar muslim, kita semua sebenarnya bertanggungjawab bagi mengendalikan urusan muallaf, kerana mereka adalah saudara seIslam kita. Mereka baru sahaja memeluk agama Islam dan mereka sebenarnya memerlukan bantuan, bimbingan serta sokongan daripada semua pihak.
Sebagai seorang Islam kita seharusnya menunaikan tanggungjawab sosial kita kepada golongan ini. Mereka mempunyai hak ke atas kita dan kita wajib menunaikannya sebagai hak seorang muslim kepada muslim yang lain. Dari segi dakwah, kita dituntut untuk memberikan bimbingan, tunjuk ajar dan memberi kefahaman kepada mereka terhadap Islam. Dewasa ini banyak pihak telah menyalah tafsirkan dan memberikan gambaran yang buruk terhadap Islam, sedangkan Islam adalah sebaliknya. Kita juga perlu memberikan bimbingan tentang perkara yang menyentuh persoalan aqidah dan syariat bagi mengelak salah tanggapan yang mendakwa bahawa Islam itu membebankan dan menyusahkan.

Di samping itu juga, kita perlu sentiasa memberikan khidmat nasihat, pandangan yang berguna serta saling bertanya khabar berita sebagai satu bentuk sokongan moral kepada mereka. Dari segi kebajikan pula, mereka ini perlu dilibatkan dalam semua aktiviti kemasyarakatan terutamanya yang melibatkan program-program keagamaan samada di peringkat kariah, daerah mahu pun negeri. Mereka juga insan biasa yang mahukan hidup bahagia seperti orang lain, mungkin dengan keputusan mereka ini untuk memeluk agama Islam, mereka disisihkan oleh ahli keluarga yang lain. Oleh itu, kita perlu sama-sama memainkan peranan agar mereka tidak merasa terpinggir atau tersisih.

Perkahwinan atau pernikahan muallaf sesama muallaf, muallaf dengan orang Islam yang lain atau dengan mereka yang Islam melalui keturunan secara ummnya adalah sama dan tiada sebarang perbezaan. Cuma sedikit yang membezakan dalam konteks pernikahan muallaf ini adalah perkara yang berkaitan hukum Islam di antara muallaf dengan keluarganya yang bukan beragama Islam. Perbezaan ini tidak melibatkan semua aspek tetapi ia perlu jelas agar tidak menimbulkan perselisihan atau salah tanggapan di pihak keluarga yang bukan Islam, tetapi anak atau ahli keluarganya yang lain memeluk agama Islam.

Kesan Dari Aspek Hukum dan Undang-undang.

Perbincangan kertas kerja ini akan memberikan perhatian terhadap aspek hukum dan undang-undang secara objektif agar kita dapat menemui titik pertemuan dalam jurang yang dianggap besar oleh sesetengah pihak yang bukan beragama Islam.

1. Jika dalam sesebuah keluarga yang bukan Islam, salah seorang daripada mereka sama ada si suami atau si isteri memeluk Islam, bagaimana taraf perkahwinan mereka?

Menurut syariat Islam, sekiranya salah seorang daripada pasangan suami atau isteri telah memeluk agama Islam, maka mereka mempunyai tempoh iddah iaitu selama 3 quru’. Jika dalam tempoh tersebut, salah seorang daripada mereka (suami/isteri) masih kekal dengan agama asalnya yakni tidak memeluk agama Islam, maka perkahwinan tersebut terfaraq yakni terbatal dengan sendirinya.

2. Bagaimana kedudukan agama anak mereka (belum baligh dan telah baligh)?

Dalam konteks kedudukan agama bagi anak pasangan tersebut, sekiranya si anak belum mencapai umur baligh, maka agamanya adalah mengikut agama yang dianuti oleh ibunya. Maksudnya, jika ibunya memeluk agama Islam, maka anaknya itu adalah seorang Islam kerana nasab seseorang anak itu adalah kepada ibunya, begitu juga sebaliknya. Tetapi sekiranya anak kepada pasangan tersebut telah mencapai umur baligh ketika salah seorang daripada kedua ibu bapanya memeluk agama Islam, maka anak tersebut boleh memilih sama ada untuk mengikuti agama yang dianuti oleh salah seorang daripada ibu bapanya.

3. Jika kedua-dua suami isteri memeluk Islam, perlukah dinikahkan semula mengikut cara Islam?

Jika pasangan suami isteri yang asalnya bukan Islam, kemudian kedua-duanya telah memeluk agama Islam, maka mereka tidak perlu diakad nikahkan semula kerana pernikahan mereka sebelum itu dikira sah dan diperakui apabila mereka memeluk agama Islam. Aqad perkahwinan asal mereka juga tidak diambil kira sebagaimana syarat-syarat pernikahan umat Islam yang lain seperti wali, saksi, sighah, ijab dan qabul dan seumpamanya.

4. Sekiranya muallaf tersebut seorang wanita dan ingin berkahwin dengan lelaki muslim, bagaimana kedudukan walinya?

Kedudukan wali bagi pernikahan muallaf wanita adalah bersandarkan kepada wali hakim kerana wanita muallaf tersebut tidak mempunyai wali nasab, sekiranya tidak terdapat dalam kalangan ahli keluarganya yang memeluk Islam dan tersenarai dalam kategori wali nasab mengikut hukum syara’.

5. Apabila seseorang anak dalam sesebuah keluarga memeluk Islam, adakah hubungan kekeluargaan mereka terputus?

Apabila seseorang anak dalam sesebuah keluarga memeluk Islam, hubungan kekeluargaan di antara anak dan kedua ibu bapanya yang bukan Islam tidak terputus sama sekali. Di sinilah terletaknya keindahan Islam yang tidak memisahkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin semata-mata kerana perbezaan agama di antara anak dan kedua ibu bapanya.

6. Bagaimana pula batas pergaulan dan aurat di antara seseorang muallaf dengan ahli keluarganya yang bukan Islam?

Batas pergaulan antara seseorang muallaf sama ada lelaki atau perempuan dengan ahli keluarganya yang bukan Islam adalah sama dengan batas pergaulan atau aurat di antara seorang Islam dengan bukan Islam yang lain.

7. Apakah tanggungjawab anak yang telah Islam terhadap kedua ibu bapanya dan apakah batas-batas atau hadnya?

Tanggungjawab seseorang anak yang telah memeluk agama Islam terhadap ibu bapanya yang belum memeluk agama Islam masih lagi sama dan dituntut seperti menghormati dan mengasihi keduanya, menziarahi keduanya apabila perlu, menjaga ketika sakit, memberi nafkah dan sebagainya. Islam tidak meletakkan sebarang perbezaan atau tembok pemisah sekalipun mereka berlainan agama. Oleh itu, si anak wajib mentaati kedua ibu bapanya selagi keduanya tidak menyuruh kepada perbuatan maksiat dan mungkar.

8. Bagaimana pula sekiranya muallaf itu telah memeluk agama Islam sedangkan isteri atau anaknya yang telah mencapai umur baligh tidak mahu memeluk agama Islam, apakah ia masih lagi diwajibkan untuk memberi nafkah terhadap mereka?

Dalam perkara ini, ia perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Apakah hak dan tanggungjawab seorang muslim kepada bukan muslim. Apakah hak dan tanggungjawab seorang suami atau bapa terhadap keluarganya walaupun mereka tidak memeluk agama Islam. Keterbukaan dan keadilan Islam dalam menjaga hubungan kekeluargaan masih meletakkan tanggangjawab ini untuk ditunaikan. Menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan serta perubatan adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan terhadap keluarganya, kerana ia juga merupakan salah satu dari konsep dakwah dengan harapan suatu ketika nanti hati mereka akan terpaut dengan Islam dan akan mendapat hidayah dari Allah s.w.t. Walaubagaimanapun, tanggungjawab itu tidak tertakluk dalam perkara yang berbentuk maksiat.

9. Bagaimana pula dengan perkara yang berkaitan hak penjagaan anak akibat pembubaran perkahwinan apabila salah seorang pasangan keluar dari agama Islam?

Apabila salah seorang pasangan keluar dari agama Islam (murtad), maka perkahwinan tersebut terfaraq dengan sendirinya. Pasangan yang masih beragama Islam perlu melaporkan kepada pihak berkuasa agama agar ia dapat diselesaikan secara harmoni dengan mendapat pengesahan dari mahkamah syariah.5 Dari sudut hukum, hak penjagaan anak (hadhanah) akan diberikan kepada ibu atau bapa yang masih beragama Islam demi menjaga serta menjamin maruah dan agama anak tersebut kerana pernikahan telah dilakukan mengikut syariat Islam.

10. Bagaimana pula dengan tuntutan harta sepencarian?

Tuntutan harta sepencarian hanya akan terlaksana apabila sesebuah perkahwinan itu dibubarkan sama ada dengan sebab perceraian atau pun apabila salah seorang daripada pasangan tersebut kembali kepada agama asalnya yakni murtad. Perkiraan mengenai tuntutan harta sepencarian adalah dari bermulanya tarikh pernikahan sehinggalah tarikh perkahwinan dibubarkan. Harta sepencarian membawa maksud harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh hukum syara’.7 Perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik melalui perundingan, majlis sulh atau pun perintah mahkamah.

11. Bagimana dengan pembahagian harta pusaka seseorang muallaf yang telah meninggal dunia?

Secara umumnya pembahagian harta pusaka bagi seseorang muallaf yang telah meninggal dunia tiada bezanya dengan yang lain mengikut sistem faraid. Islam dengan jelas telah menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta orang Islam dan begitu juga sebaliknya. Walaubagaimanapun, demi menjaga hubungan kekeluargaan, seseorang muallaf boleh memberikan sebahagian hartanya ketika masih hidup kepada anggota keluarganya yang bukan Islam kerana Islam tidak menyekat atau menghalang perkara ini.

12. Apakah hukumnya si anak menghadirkan diri dalam majlis keagamaan atau perayaan keluarganya seperti Thaipusam, Deepavali, Krismas, Wesak dan lain-lain dengan tujuan menghormati keluarga mereka?

Walaubagaimanapun, si anak tidak boleh menghadirkan diri dalam sebarang majlis atau perayaan keluarganya yang melibatkan upacara keagamaan bukan Islam. Ini kerana terdapat batas dan halangan yang tertentu dan ianya adalah melibatkan persoalan aqidah sekalipun hanya sekadar untuk menghormati keluarganya. Si anak boleh menghormati keluarganya yang bukan Islam apabila ia melibatkan hubungan sesama insan seperti berbuat baik, bantu-membantu, hormat-menghormati kepada kedua ibu bapa dan keluarganya yang lain.

Siapa Anda Dalam Kehidupan Berkeluarga.

Kunci terpenting yang perlu wujud bagi mengekalkan hubungan yang kukuh dalam kalangan anggota keluarga ialah rasa tanggungjawab dan kasih sayang. Kalau tanggungjawab semata-mata ia akan menjadi kering dan tandus. Kalau semata-mata kasih sayang, ia boleh berubah. Maka dengan itu, sesuatu hubungan kekeluargaan perlu diwujudkan dengan rasa tanggungjawab dan penuh rasa kasih sayang. Dengan ini kehidupan berkeluarga akan menjadi seumpama taman indah yang didiami oleh insan-insan yang berupaya menilai dan menjaga keindahan dan keharmoniannya.
Hubungan yang baik hanya akan wujud jika sekiranya satu konsep pegangan atau aqidah yang kuat terhadap Allah terbukti dengan mengambil berat segala perintah-Nya. Kepatuhan kepada Allah s.w.t. sahaja yang dapat mengawal tindak-tanduk manusia. Di sini jelas kepada kita, Islam memainkan peranan penting dalam kehidupan insan. Tanpa Islam, manusia akan sengsara walaupun mereka hidup dalam mahligai emas dan perak. Ia adalah perkara utama yang mesti diberi perhatian dalam membangunkan kehidupan sesebuah keluarga.

Penutup.

Sejak kejatuhan umat Islam dari memegang teraju kepimpinan manusia, dengan kemunculan tamadun Barat, ajaran Islam diusahakan supaya lenyap sedikit demi sedikit daripada kehidupan kaum muslimin. Paling tidak, ia dikelirukan sehingga masyarakat Islam mengamalkan ajaran-ajaran Islam secara kesamaran. Kejahilan umat Islam terhadap agamanya, bukan kerana serangan daripada Barat sahaja. Keruntuhan personaliti juga turut terlibat sehingga kecintaan kepada ilmu dan kegigihan mempelajarinya menjadi bertambah malap. Akhlak yang baik dan nilai-nilai yang mulia beransur-ansur menjadi layu dengan kemaraan nilai-nilai songsang. la mudah sahaja memenuhi kekosongan dan menguasai kelemahan yang sudah merata di kalangan masyarakat.
Keadaan seperti ini mempengaruhi sikap masyarakat Islam dalam segenap kehidupan, khususnya dalam kehidupan berkeluarga. Dengan lain perkataan, suasana pembentukan keluarga hari ini dan kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalamnya, bukanlah semata-mata hasil daripada serangan nilai-nilai songsang tetapi juga kerana kelemahan yang sedia wujud dalam masyarakat Islam setelah berlakunya krisis personaliti Islam dan kerenggangan nilai-nilai Islam daripada kehidupan.
 

=^..^=

------ -------- -------- --------